Wednesday, 9 April 2014

Laporan Audit: Pejabat kesihatan guna peruntukan kanak-kanak malnutrisi untuk beli nasi lemak

Laporan Audit: Pejabat kesihatan guna peruntukan kanak-kanak malnutrisi untuk beli nasi lemak
KUALA LUMPUR: Peruntukan kerajaan untuk memberi makanan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan, telah digunakan oleh beberapa pejabat kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan untuk membeli antara lain nasi goreng dan nasi lemak untuk aktiviti dalaman mereka.

Ini adalah pendedahan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 yang menyatakan sebanyak RM87,851 daripada peruntukan bakul makanan sejumlah RM923,000 telah digunakan oleh pejabat kesihatan Jerantut, Gua Musang dan Kota Kinabalu untuk tujuan lain selain memberi makanan kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kurang berat badan.

"Bagi menjayakan Program Pemulihan Kanak-Kanak Kekurangan Zat Makanan (PPKZM), Bahagian Pemakanan Kementerian pada tahun 2011 hingga 2013 telah  menerima peruntukan sejumlah RM66.51 juta  daripada peruntukan mengurus, peruntukan One-Off NKRA bagi kanak-kanak kurang berat badan.

"Peruntukan kewangan tersebut diagihkan oleh  Kementerian kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), seterusnya JKN  menyalurkan peruntukan tersebut berdasarkan bilangan kes yang terdapat di sesebuah daerah atau kawasan.

"Semakan Audit terhadap rekod kewangan di  Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut, Kota Kinabalu dan Gua Musang Kelantan mendapati peruntukan yang diterima bagi perolehan bakul makanan khususnya peruntukanOne-Off  NKRA tidak digunakan sepenuhnya bagi tujuan asal peruntukan, sebaliknya  digunakan untuk pembelian  lain seperti aset dan peralatan, perolehan tikar, perabot, langsir, penghadang, bantal dan keperluan bilik penyusuan susu ibu, hamper program larian dan peserta pertandingan memasak, perbelanjaan makan dan minum mesyuarat, menyediakan cenderahati dan hadiah serta mencetak t-shirt," kata laporan itu.

Laporan itu berkata antara faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah tiada pemantauan daripada  Pegawai Sains Pemakanan Daerah terhadap perbelanjaan semasa.

Ekoran itu, Kementerian itu telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman 27 Januari 2014 untuk menyiasat perkara itu.

Berita mula diterbitkan pada: April 09, 2014 09:08 (MYT)

No comments:

Post a Comment

Nyatakan komen dan pendapat anda di sini ..