Wednesday, 23 April 2014

(ISU SEMASA) Feri Karam Di Korea: Angka Korban Meningkat Kepada 146 Orang


Pihak pendakwa Korea Selatan pada Rabu menggeledah pejabat pengusaha feri yang karam pada 16 April lepas, kediaman pemiliknya serta semua pihak berkaitan, lapor agensi berita Xinhua . 

Pejabat pendakwaan Inchon kini sedang menjalankan siasatan tuduhan rasuah ke atas pemilik kapal tersebut, Yoo Byung-eon dan ahli keluarganya. 

Pihak penyiasat menggeledah kira-kira 20 lokasi termasuk rumah Yoo, syarikatnya serta kumpulan-kumpulan agama yang berkaitan dengan Yoo dalam mencari dokumen serta data berkaitan. 

Syarikat Cheonghaejin Marine, iaitu pengusaha feri yang karam berdekatan Pulau Jindo itu dicurigai telah mengubahsuai feri tersebut secara haram bagi menambah kapasiti penumpang dan muatan. 

Sementara itu, angka kematian terus naik mendadak kepada lebih 146 orang pada Selasa selepas pasukan penyelam berjaya menemui mayat yang masih terperangkap dalam feri malang itu. 

Keadaan cuaca yang bertambah baik memudahkan operasi pencarian mangsa, namun jarak penglihatan di dalam air adalah terhad menyebabkan pasukan penyelam terpaksa meraba-raba mencari mayat dalam keadaan serba gelap. 

Kapal seberat 6,825 tan yang membawa seramai 476 orang itu menyaksikan kira-kira 156 mangsa belum berjaya ditemui walaupun operasi mencari hampir memasuki seminggu. 

Angka rasmi mengesahkan 146 orang maut dan 156 masih hilang. 

Ahli keluarga mangsa yang terkesan disebabkan tragedi ini terus menunggu di Pelabuhan Jindo yang terletak tidak jauh daripada lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat terkini. Sami Buddha mendoakan keselamatan penumpang Feri Sewol yang karam pada 16 April lalu – Foto oleh AP 

Sami Buddha mendoakan keselamatan penumpang Feri Sewol yang karam pada 16 April lalu.
Feri yang membawa kebanyakkannya pelajar sekolah menengah ini menyaksikan ibu bapa dan ahli keluarga mangsa naik berang selepas pelbagai spekulasi muncul. 

Dengan misi mencari yang masih berterusan lebih seminggu ini, kesabaran mereka semakin memuncak memikirkan anak-anak yang masih terperangkap dalam kapal tersebut. 

‘Saya mahu anak saya kembali’ 

‘Saya hanya mahu anak saya kembali,” rintih seorang bapa kepada salah seorang pelajar yang masih hilang dalam tragedi malang ini. ‘Saya mahu pegang dia dan ucapkan selamat tinggal. Saya tidak boleh terima kenyataan anak saya berada dalam keadaan gelap dan sejuk begitu.” -awani 

Seorang lelaki tidak dapat menahan sebak ketika melawat memorial memperingati mangsa nahas feri karam di Dewan Memorial Olimpik Ansan.

No comments:

Post a Comment

Nyatakan komen dan pendapat anda di sini ..