Tuesday, 4 March 2014

(2 GAMBAR) Budak 5 Tahun Maut Makan Ayam Goreng Di Pasar Malam

“Saya bergegas pulang selepas pengasuh beritahu anak muntah serta tidak bermaya dan terkejut apabila diberitahu anak meninggal dunia tidak sampai sejam selepas dimasukkan ke hospital,” kata Mohd Ilme Adam, 31, bapa Mohammad Iqbal Rafie, 5, yang meninggal dunia jam 1 tengah hari di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu semalam akibat keracunan makanan.

Menurut anggota tentera itu, petang Sabtu lalu, dia membawa anak tunggalnya itu serta isteri, Zuriana Mohd Yusof, 28, ke pasar malam Jalan Hiliran untuk membeli ayam goreng.

Katanya, sebelum keluar rumah, anaknya tidak makan apa-apa kerana teringin makan ayam goreng.
“Saya dan anak begitu berselera makan ayam goreng berkenaan, tetapi isteri hanya melihat kami berdua makan jam 9 malam.

“Kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam (kelmarin), anak mengadu sakit perut selain muntah serta cirit-birit, Saya terus membawa anak ke Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mohd Ilme yang tinggal di Bukit Payong, Marang, berkata dia turut cirit-birit dan beberapa simptom sama seperti anaknya, namun tetap pergi bekerja, meninggalkan anaknya kepada pengasuh.

Menurutnya, dia dan isteri terkejut apabila dihubungi jiran jam 11 pagi semalam, memberitahu anaknya menjerit kerana sakit perut dan tidak bermaya.

Katanya, dia bergegas pulang dan terus membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Bukit Payong sebelum dirujuk ke HSNZ.

“Luluh hati apabila doktor beritahu anak sudah tidak bernyawa selepas tidak sampai sejam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HSNZ,” katanya yang kini menunggu laporan bedah siasat dari Unit Forensik HSNZ sebelum bercadang mengambil tindakan lanjut terhadap pihak terbabit.

No comments:

Post a Comment

Nyatakan komen dan pendapat anda di sini ..