Friday 28 February 2014

Pelajar Berebut Naik Bas Belum Berhenti Maut Digilis

Seorang pelajar lelaki tingkatan satu maut setelah terjatuh dan digilis bas sekolah ketika mengejar kenderaan itu untuk pulang di dataran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu di Kuantan semalam. 

Dalam kejadian pukul 3 petang itu, Adam Daniel Abdullah, 13, dikatakan berlari bersama sekumpulan pelajar lain sebelum dia terjatuh di bawah bas lalu digilis. 

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof, bas sekolah tersebut bergerak untuk mencari tempat letak kenderaan dan pintunya juga masih belum dibuka. 

"Mangsa yang cedera parah di muka dan perut meninggal dunia di tempat kejadian. Pihak polis juga telah menahan pemandu bas tersebut yang berumur 45 tahun untuk siasatan lanjut. 

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut mengenai kejadian ini masih diteruskan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. 


Ibu saudara mangsa, Norhidayu Nordin, 30, berkata, insiden itu mengejutkan mereka sekeluarga malah tidak terlintas anak saudara yang dijaga sejak umur setahun menemui ajal secara tragis. 

"Saya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh pihak sekolah dan bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kira-kira pukul 3 petang. 

"Saya terkejut namun tidak memaklumkan kepada ibu, Ana Musa, 57, kerana bimbang dia terkejut, kesihatannya juga tidak berapa baik kerana baru diserang angin ahmar," katanya. 

Menurutnya, sebelum kejadian, Adam lebih banyak tersenyum dan sering bergurau dengan anak-anaknya beberapa hari sebelum kejadian. 

"Saya dan ibu menjaga Adam sejak dia berumur setahun selepas kedua ibu bapanya berpisah.

"Dia seorang yang peramah dan periang malah disenangi ahli keluarga yang lain. Sebagai cucu yang tinggal bersama nenek, dia sangat rapat dengan ibu saya," katanya. 

Tambahnya, jenazah Adam telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali petang semalam.

No comments:

Post a Comment

Nyatakan komen dan pendapat anda di sini ..