Monday, 21 July 2014

(BERITA-MH17) Malaysia Boleh Ambil Tindakan Undang-Undang - Pakar Perundangan

MH17: Malaysia boleh ambil tindakan undang-undang - Pakar perundangan
SIVANANTHAN: Dalam keadaan kita, isu pertama ialah siapa yang bertanggungjawab.
KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai peluang untuk membawa kes nahas pesawat MH17 ke muka pengadilan tetapi amat penting untuk mendapatkan bukti terlebih dahulu mengenai jenis peluru berpandu yang menembak pesawat  Malaysia Airlines (MAS) itu hingga menyebabkannya terhempas selain mendedahkan fakta-fakta lain, kata pakar-pakar perundangan.

Peguam Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) Datuk N.Sivananthan berkata untuk berbuat demikian, adalah penting untuk memasuki tapak nahas dengan segera untuk memastikan bukti tidak dicemari.

"Ia membolehkan pemerhatian dari dekat dan mungkin mendedahkan keadaan yang menyebabkan peluru berpandu ditembak serta sebab untuk berbuat demkian. 

"Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi menjawab persoalan yang bermain dalam fikiran semua keluarga mereka yang berada dalam pesawat itu," kata beliau kepada Bernama hari ini.

Beliau diminta menjelaskan mengenai tindakan undang-undang yang harus diambil oleh Malaysia berhubung dengan insiden MH17.

Sivananthan yang juga Naib Presiden Badan Peguam Jenayah Antarabangsa menegaskan insiden MH17 telah mencabuli Artikel 3 Konvensyen Chicago yang melarang sebarang serangan ke atas pesawat awam.

Tuntutan yang dikemukakan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa adalah hanya tuntutan yang melibatkan pampasan dan ganti rugi, katanya. 

"Dalam keadaan kita, isu pertama ialah siapa yang bertanggungjawab. Ada tiga pihak yang memungkinkan untuk disaman sebagai contoh Kerajaan Ukraine, puak pemberontak yang pro Rusia dan Rusia.

"Dengan satu atau lebih daripada tiga pihak itu harus bertanggungjawab,  ia adalah permulaan yang baik untuk mendapatkan bukti tentang jenis peluru berpandu yang menjatuhkan pesawat dan lokasi peluru berpandu ditembak," kata beliau.

Sivanathan berkata tindakan boleh diambil secara bersama oleh Malaysia dan semua negara yang warganya berada dalam pesawat MH17, supaya bidang kuasa ICJ benar-benar berlandasakan sivil.

Beliau menjelaskan  opsyen lain ialah membawa pembabitan ICC tetapi dalam kes ini, Ukraine bukan pihak yang bersifat negara, oleh itu, ICC tidak mempunyai bidang kuasa.

"Bagaimanapun, Ukraine boleh bersetuju untuk tertakluk di bawah bidang kuasa ICC berhubung insiden itu atau Majlis Keselamatan boleh merujuk insiden itu kepada ICC.

"Buat masa ini, insiden ini boleh ditakrifkan sebagai tindakan pengganas dalam definisi jenayah terhadap kemanusiaan atau jenayah perang. Saya berpendapat jika Ukraine menyatakan bahawa puak pemberontak bertanggungjawab, mereka lebih daripada bersedia untuk bersetuju supaya ICC turut terlibat" kata peguam itu.

Sivananthan menjelaskan ini bermakna penyiasatan boleh bermula dan mungkin berakhir dengan waran tangkap dikeluarkan tetapi untuk menguatkuasakan waran memerlukan bantuan kerajaan Ukraine.

Beliau berkata sebaik  ditangkap, mereka boleh dipindahkan ke The Hague untuk menghadapi perbicaraan dan penyiasatan ini mungkin menunjukkan dari mana senjata dibekalkan, dan jika jika tiada tuduhan dikenakan terhadap Rusia, implikasi antarabangsanya boleh menjadi teruk.

Menurutnya pencabulan Artikel 3 Konvensyen Chicago boleh menjadi asas untuk membuat aduan ke ICJ dan juga menjadi asas bagi Majlis Keselamatan untuk merujuk perkara itu kepada ICC, jika Ukraine tidak mengakuinya secara sukarela.

"Saya fikir atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, Malaysia mempunyai peluang untuk berbuat demikian. Tindakan ICJ ialah untuk menentukan pihak-pihak yang bertanggungjawab dan mendapatkan penghakiman terhadap mereka," kata beliau, dan menambah walaupun penguatkuasaan adalah satu isu, sekurang-kurngnya pihak-pihak yang bersalah boleh dikenal pasti.

Peguam itu juga berkata tindakan berhubung ICC membolehkan Malaysia meletakkan nama dan wajah atau nama-nama dan wajah-wajah mereka yang bertanggungjawab, yang membolehkan pendedahan mengenai keadaan yang menyebabkan penembakan peluru berpandu dan sebab untuk berbuat demikian.

Ketika ditanya mengenai kotak hitam, Sivananthan berpendapat sudah tentu Malaysia berhak mendapatkan kotak hitam itu dan pihak berkuasa Ukraine mempunyai hak untuk menyiasat maklumat yang terkandung di dalamnya kerana insiden itu berlaku di bawah bidang kuasa mereka.

Tidak ada sebab mengapa penyiasatan tidak boleh dijalankan bersama dan pihak berkuasa antarabangsa yang lain, katanya.

"Jika kotak hitam berada di pihak Rusia seperti andaian beberapa laporan berita, maka mereka harus menyerahkannya kerana mereka tidak ada kena-mengena menyimpannya.

"Jika mereka mempunyainya dan tidak mahu menyerahkannya, ini akan menguatkan tanggapan bahawa mereka terlibat dan akan menjadi asas untuk PBB dan masyarakat antarabangsa bertindak. Ini juga terpakai bagi semua bukti yang dijumpai di tempat kejadian," kata beliau.

Kepada soalan lain, beliau berkata Jabatan Peguam negara tidak mempunyai bidang kuasa untuk bertindak mengenai insiden itu kerana ia berlaku di bawah bidang kuasa lain.

"Apa yang terbaik ialah meneruskan kes ini ke ICJ dan ICC dan di peringkat diplomatik untuk memujuk Kerajaan Ukraine tertakhluk situasi ini di bawah bidang kuasa ICC. Ini juga akan memastikan insiden ini disiasat di peringkat antarabangsa dan memberi tekanan hebat ke atas mereka yang terlibat," kata beliau.

Bagaimanapun, Sivanathan menarik perhatian bahawa perkara ini tidak boleh dibiarkan dan mereka yang bertanggungjawab perlu dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata mereka (pihak-pihak yang terlibat menembak pesawat itu) telah bertindak sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira atau menghormati nyawa manusia.

Pihak-pihak yang secara sengaja atau secara membuta tuli menyokong mereka juga harus dipaksa bertanggungjawab dan identiti mereka didedahkan, katanya. KUMPULANCERITAKINI

(BERITA-MH17) Datuk Kepada Pembantu Juruterbang MH17 Mahu Jenazah Cucunya Dibawa pulang

Datuk kepada pembantu juruterbang MH17 mahu jenazah cucunya dibawa pulang
Daud Abdul Kadir berkata Allah lebih menyayangi cucunya.
MELOR: Datuk kepada pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terbabit dalam tragedi nahas, Ahmad Hakimi Hanapi hari ini pilu apabila cucunya itu pernah dijadual mengendali pesawat MH370 yang hilang empat bulan lalu.

Daud Abdul Kadir, 80, menjelaskan, Allah lebih menyayangi cucunya itu dan mengambilnya dalam nahas MH17.

Beliau berkata cucunya pernah memberitahu beliau yang dia bersyukur kerana tidak menjadi mangsa kehilangan  pesawat MH370 itu.

Semasa datang melawatnya selepas beberapa minggu selepas kehilangan mh370 Ahmad Hakimi ada  memberitahunya yang dia sepatutnya turut terlibat dalam mengendalikan pesawat itu, namun tugas Ahmad Hakimi  ditukar dengan seorang pembantu juruterbang yang berasal dari Pasir Mas.

Katanya apa yang beliau harapkan ialah supaya jenazah cucunya dapat dibawa pulang dan disempurnakan pengebumiannnya di sini. KUMPULANCERITAKINI

Ahmad Hakimi Hanapi
Pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines  (MAS) MH17, Ahmad Hakimi Hanapi

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob di kediamannya.

Datuk Ahmad Yakob mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan sehingga mengorbankan mangsa-mangsa yang tidak berdosa.

Beliau mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertanggungjawab untuk mencari dalang sebenar dan perlu dibentuk segera sebuah badan bebas penyiasat.

“Kita harapkan semua pihak terutama masyarakat dunia mengutuk dan mendesak pihak  PBB supaya dapat membawa mereka yang tidak bertanggungjawab ini ke muka pengadilan dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi,” kata Ahmad Yakob.

Tambah beliau, pihak berkuasa diharap dapat menguruskan bangkai pesawat dan semua barang bernilai milik mangsa dengan lebih tersusun supaya ianya dapat dikembalikan kepada Malaysia dan ahli keluarga mangsa.

Ahmad Yakob juga mahu kotak hitam diserah kepada kerajaan Malaysia kerana pesawat itu adalah milik kerajaan Malaysia.

“Kotak hitam tidak boleh diambil oleh mana-mana negara kerana ia bercanggah dengan undang undang antarabangsa. Kita bimbang jika kotak hitam dikuasai oleh pihak lain, segala bukti akan dilenyapkan,” katanya

(BERITA-MH17) Sepatutnya Naik MH370 dan MH17, Pelumba Terengganu Cycling Team Dua Kali Elak Tragedi

Sepatutnya naik MH370 dan MH17, pelumba Terengganu Cycling Team dua kali elak tragedi
DE JONGE: Saya telah dua kali bertuah. -foto Twitter @maartenmaleis
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki Belanda dua kali terselamat daripada tragedi apabila dia menukar tiket penerbangan MH370 dan MH17 yang sepatutnya beliau naiki kepada penerbangan lain pada saat akhir.

Maarten De Jonge, seorang pelumba basikal untuk Terengganu Cycling Team (TSG) dari Oldenzaal di Belanda berusia 29 tahun berkata, dia sepatutnya menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH370 pada Mac lalu untuk ke Taiwan untuk satu pertandingan namun menukarnya kepada penerbangan lain untuk mengelakkan transit.

Dalam satu lagi ‘keajaiban’, dia juga sepatutnya menaiki pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, yang dipercayai terhempas setelah ditembak berhampiran sempadan Ukraine-Rusia pada 17 Julai lalu.

De Jonge bagaimana pun menukar tiket penerbangan tersebut untuk mengambil pesawat pada hujung minggu bagi menjimatkan duit.

Dalam satu kenyataannya dalam bahasa Belanda kepada stesen penyiaran RTV Oost, De Jonge berkata: “Ia amat sukar dibayangkan. Saya bersedih untuk penumpang dan keluarga mereka, namun saya bersyukur yang saya terselamat.”

De Jonge juga meminta agar perhatian terus diberikan kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal.

Beliau turut berkata bahawa dia masih merancang untuk menggunakan MAS untuk kembali ke Malaysia melalui Frankfurt dan tidak langsung mempunyai apa-apa kerisauan.

“Saya telah dua kali bertuah,” katanya.

“Kita tidak sepatutnya terlalu risau, atau kita tidak akan ke mana-mana,” tambahnya mengakhiri teumbual. KUMPULANCERITAKINI

(BERITA-MH17) Antara Wajah-Wajah Penumpang Dan Anak Kapal

KUALA LUMPUR: Seramai 298 penumpang dan anak kapal terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang dipercayai ditembak jatuh oleh anggota puak pemisah Rusia.

298. Ini bukan sekadar angka tetapi ini adalah jumlah nyawa yang terkorban dalam nahas malang yang menimpa dunia ini.

Nyawa-nyawa ini terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk ahli akademik, pelakon teater, aktivis AIDS, pelajar perubatan, penuntut Doktor Falsafah dan sebagainya. Ada yang membuat perjalanan bersendirian, bersama pasangan masing-masing atau dengan seluruh keluarga.

Ada yang tidak sabar untuk bertemu semula bersama ahli keluarga untuk Hari Raya, dan ada juga menggunakan Kuala Lumpur sebagai destinasi transit sebelum menyambung perjalanan ke negara masing-masing.

Siapa mereka? Apa kisah mereka? KUMPULANCERITAKINI

Ng Shi Ing
Ng Shi Ing

Ng Shi Ing, 33, merupakanPensyarah Fakulti Psikologi Dan Pendidikan Dalam Jurusan Teaching English As A Second Language (TESL), UMS.

Beliau menghadiri  persidangan di University of Antwerp, Belgium sebagai pembentang kertas kerja.

Pensyarah tersebut yang sepatutnya dijadual kembali bertugas pada Isnin depan turut ditemani anaknya yang berusia satu tahun serta adik perempuannya yang dipercayai sama-sama berada dalam pesawat itu.


Shuba Jay
Shuba Jay

Shuba Jay merupakan bekas peserta program realiti Mari Menari. Beliau yang juga aktif sebagai pelakon teater dan drama televisyen dalam perlajalan ke Kuala Lumpur bersama suaminya Paul Goes, seorang warganegara Belanda dan juga anak mereka berusia 21 bulan.


Tambie Jiee
Tambie Jiee dan keluarga

Tambi Jiee, 49, isterinya Ariza Ghazalee, 46, bersama anak-anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 19, Marsha Azmeena, 15 dan Muhammad Afruz, 13 sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas lebih tiga tahun berada di luar negara.

Tambi Jiee bertugas dengan sebuah syarikat milik Shell di Kazakhstan dan baru mendapat kebenaran untuk berpindah tempat kerja dari Kazakhstan ke Kuala Lumpur.


Md Ali Md Salim
Md Ali Md Salim
 
Md Ali Md Salim, 30, merupakan penuntut Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Development Neuropsychopathology di Erasmus University Rotterdam di Belanda.

Menerusi akaun Instagram beliau (@masa1777), gambar terakhirnya mempunyai mesej: "Bismillah...#hatiadasikitgentar".


Ahmad Hakimi Hanapi
Ahmad Hakimi Hanapi

Ahmad Hakimi Hanapi, 29, disifatkan sebagai payung emas kepada keluarga. Hakimi  ada menghubungi datuknya Daud Kadir tiga hari lalu untuk memaklumkan bahawa beliau akan pulang untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga pada 25 Julai ini

Ahmad Hakimi meninggalkan seorang isteri yang dikenali sebagai Hasmat dan seorang anak lelaki berusia setahun lebih.

Beliau menyertai MAS lebih empat tahun lalu sebagai pembantu juruterbang.


Sanjid Singh
Sanjid Singh Sandhu

Sanjid Singh, 41, tidak sepatutnya bertugas dalam pesawat MH17 tetapi bertukar syif dengan rakan setugasnya.

Sebelum ini, isterinya yang merupakan seorang pramugari bertukar syif dengan rakan setugas dan terselamat daripada insiden MH370.


Yuli Hastini
Yuli Hastini  dan keluarga

Yuli Hastini dari Indonesia sepatutnya pulang ke negara asalnya bersama suami John Paulisen dan anak-anaknya iaitu Arjuna Martin Paulisen, 5, & Sri Paulisen, 3.

Menurut seorang ahli keluarga, Yuli sudah enam tahun tinggal di Belanda dan bekerja di farmasi yang berbeza dari suaminya.


Elaine Teoh dan Emiel Mahler
Elaine Teoh dan Emiel Mahler

Elaine Teoh, 27, berasal dari Pulau Pianang dan merupakan bekas pelajar Universiti Melbourne, Australia.

Beliau dan teman lelakinya Emiel Mahler dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri satu majlis perkahwinan. Kedua-duanya menetap di Melbourne.


Nick Norris
Nick Norris

Nick Norris, 68, merupakan seorang pelayar terkenal Australia dan pengarah urusan di sebuah syarikat perunding di Perth.

Cucu kepada Nick Norris
 
Norris ditemani cucu-cucu beliau iaitu  Mo Maslin (12), Otis Maslin (8) dan Evie Maslin (10)
 

Robert Ayley
Robert Ayley

Satu-satunya warga New Zealand di dalam MH17, Rob Ayley, 29, berada di Eropah selama sebulan untuk melihat penternak anjing Rottweiler. Ayley meninggalkan seorang isteri Sharlene dan dua anak iaitu Seth, 4, dan Taylor, 2.

Dalam emel terakhir beliau kepada ahli kelaurganya dia tulis “Saya tidak sabar untuk bertemu anak-anak dan juga Sharlene. Saya harap semua okay, kalau kita tidak dapat berhubung lagi, saya akan jumpa anda pada hari Sabtu.


Andrei Anghe dan Olga Ioppa
Andrei Anghe dan Olga Ioppa

Andrei Anghel, 24, merupakan seorang pelajar perubatan yang mempunyai cita-cita tinggi tentang penyelidikan penawar kanser.

Beliau ditemani teman wanitanya iaitu Olga Ioppa, seorang warganegara Jerman, dan dalam perjalanan untuk bercuti  ke Bali, Indonesia. Ahli keluarga memberitahu bahawa Andrei menyukai aktiviti luar dan juga pantai.


Dr. Joep Lange
Dr. Joep Lange

Dr. Joep Lange, 59, dari Belanda merupakan penyelidik veteran HIV/AIDS yang dalam perjalanan ke Persidangan AIDS Antarabangsa di Melbourne, Australia.

Beliau ditemani 5 delegasi yang lain dalam pesawat MH17.