Seorang wanita menempuh azab apabila dia bukan saja dirompak, malah dada dan payudaranya ditoreh berulang kali oleh dua perompak ketika mangsa dalam perjalanan menjual ikan dalam kejadian berhampiran Jalan Bandar di Teluk Intan, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 22, berkata, kejadian berlaku ketika dia menunggang motosikal menuju ke pasar Teluk Intan untuk bekerja mengambil upah menjual ikan.
Menurutnya, dia yang menunggang motosikal bersendirian terkejut apabila dua lelaki tidak dikenali muncul dan mengekorinya dengan menaiki motosikal.
“Tiba-tiba mereka memintas motosikal sebelum salah seorang lelaki itu terjun daripada motosikalnya menyebabkan saya hilang kawalan sebelum terjatuh.
“Dalam keadaan kesakitan, lelaki terbabit merampas beg duit berisi wang tunai RM300, namun saya terkejut apabila salah seorang lelaki itu mengeluarkan pisau dan menghiris dada saya,” katanya.
Tan berkata, dia yang berada dalam kesakitan merayu supaya tidak dicederakan berikutan penjenayah terbabit sudah memperoleh duitnya.
“Lelaki terbabit terus bertindak menoreh dada saya berulang kali hingga mencederakan puting saya. Akibat kesakitan, saya terus pitam di tempat kejadian,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Nyatakan komen dan pendapat anda di sini ..